Thursday, December 17, 2009

Kamarau berakhir.

Pemain Vietnam, Mai Xuan Hop,iaitu penjaring gol kemenangan Malaysia menangis sambil terfikir untuk bertukar kerjaya kepada Akauntan Bertauliah selepas tamat perlawanan.
Gambar dirembat secara haram dari Thestaronline.

Kemarau tamat.

Aku mahu mencatat dan mengabadikan detik indah, manis, romantic, dan bersejarah ini di dalam blog ini.

Lebih kurang pukul 7.56 malam tadi atau dalam kata lainnya lagi beberapa minit Maghrib nak habis, skuad bolasepak bawah 23 tahun Malaysia menamatkan kemarau 20 tahun memenangi kejuaraan bola sepak utama.

Jaringan pada minit ke 84 memastikan pasukan Malaysia menang pingat emas acara bola sepak lelaki untuk Sukan Sea yang diadakan di Laos. Pasukan perempuan tak apa. Kena belasah dengan pasukan lain pun aku tak marah.

Sebagai seorang peminat bolasepak, aku gembira atas kemenangan ini. Walaupun aku suka mengkritik, mengutuk, mengeji, menghina, mencaci dan perkataan yang sewaktu dengannya kepada scenario bolasepak Malaysia, di sebalik kata-kata itu dan jauh di lubuk hati sudah tentu aku mahu pasukan bolasepak Malaysia menang.

Tahniah kepada mereka yang berusaha memenangi pingat tersebut. Aku dan 27 juta lagi rakyat Malaysia, tidak termasuk mat-mat Bangla dan geng-geng Pati yang lain, tahu bahawa pemain-pemain bermain separuh mati untuk kemenangan.

Secara kasarnya, Vietnam menguasai separuh masa pertama dan pada waktu itu, honestly aku fikir Malaysia akan kalah.

Tidak tahu apa yang K. Rajagobal beritahu di bilik persalinan, mungkin ada yang kena tempeleng, Malaysia mula bermain bolasepak dengan cara yang betul bermula pada minit ke 55. Permainan Malaysia baik dan menekan Vietnam sehingga mereka tension. Ini terbukti apabila penjaga gol Vietnam berlakon ala ala Fizz Fairuz dalam drama Nur Kasih. Aku rasa lepas ini pasti saudara Kabir Bhatia sudah berjumpa ‘pelakon’ beliau yang baru.

Vietnam cuba untuk mengganggu flow pasukan Malaysia. Tetapi semua itu tidak berjaya mematahkan semangat pemain Malaysia. Atas semangat 1Malaysia 1Bolasepak, Malaysia menjaringkan gol pada minit ke 84. Terima kasih diucapkan kepada pemain Vietnam yang menjaringkan gol sendiri.

Pada minit ke 96, pengadil meniupkan wisel untuk memberikan kegembiraan kepada seluruh rakyat Malaysia. Geng-geng FAM ada cerita untuk diceritakan selepas ini. Pasti wajah mereka tersenyum bangga, padahal urus perjalanan liga pun tak pandai.

Tahniah sekali lagi kepada pasukan bolasepak bawah 23 tahun atas pingat emas yang cukup berharga itu. Mereka punya sesuatu yang sudah lama tiada dalam bolasepak Malaysia.

Semangat juang.

Tetapi aku berharap ini bukanlah kali terakhir Malaysia menang. Aku harap ada lebih banyak lagi kemenangan untuk bolasepak Malaysia.

InsyaAllah..

Thursday, December 10, 2009

Dunia.

Satu malam yang indah...

Tengah aku melepak-lepak hisap rokok depan rumah dengan Syukri, tiba-tiba datang seorang kawan, 125 warna hitam. Catalyzer. Nak aja aku cakap "Trade-in moto ni dengan Honda C70 tepi rumah aku tu nak tak?" Tapi aku normal lagi. Apa barang trade-in moto zaman moden dengan moto tahap lagenda tu?

Kami pun mula sembang pung-pang pung-pang sambil mulut tak habis-habis keluar asap. Aku rembat rokok mamat 125 dengan selamba. Tengok muka pun dah tau baru menang lucky ball.

Tengah seronok bersembang tu, tiba-tiba dia ternampak jam yang aku pakai.

"Eh cantik jam hang. Berapa ratus hang beli?" katanya.
"Seratus setengah", aku balas, yakin.
"Jual kat aku. Seratus."

Aku terkejut. Aku memang tak mahu jual jam tu. Sebab aku jenis malas nak beli jam lain pula. Lagi pun aku bukan pandai sangat nak beli-beli jam ni.

Melihat reaksi aku yang tak mahu jual jam, mamat 125 keluar not lima puluh. 2 keping.Mata aku bersinar-sinar nampak duit tu.

"Nak jual tak? Aku bayar hang sekarang", kata mamat tu lagi.
Hati aku berubah. Dari nak mahu jual, kepada nak jual. Aku ambik note seratus dengan hati berbunga-bunga. Senyum. Dalam hati saja.

***

Beberapa bulan sebelum tu...

"Bang, jam ni berapa?"Tanya aku kat satu brader jual jam.

"Murah je. Tiga puluh ringgit", brader tu balas.
Tanpa cakap banyak aku angkat terus jam tu.

Mahu tahu di mana lokasi kedai jam tu?
Padang Besar.

Mahu tahu brand apa yang aku beli walaupun cap ayam?
Breitling. Duta jam Breitling adalah actor Hollywood, John Travolta.

***

Fuh.. Dunia, dunia..

Friday, November 20, 2009

Pengalaman saya balik ke kampung.

Hari ni aku bangun awal. Tapi awal pun, Subuh termiss juga. Malam sebelumnya tidur lewat. Berentap PES 2010 punya pasal. Game PES kali ni tak best langsung. Programmer yang buat game ni dulu aku rasa tak main bola. Main congkak dengan teng-teng agaknya. Design game macam gampang. Menyirap juga tiap kali main game tu. Dalam tak best tu pun, Tibet kena ayam juga dengan aku. Second match aku kasi dia peluang menang. Kasihan pula kalau nak belasah sekali lagi.

Hari ni misi aku adalah balik kampung. Tibet dengan rakan-rakan dia contohnya macam Bruno, ada program merapu. Finishing school. Apa jadah letak nama finishing school? Habis sekolah? Tak rock langsung nama tu.

Malam sebelum tu Ustat ada ajak balik sekali. Walaupun nama dia Ustat, jarang juga aku jumpa dia time Jumaat. Aku pun hairan. Berbalik kepada ajakan dia tadi, aku reject mentah-mentah. Bukan apa, Ustat ajak balik pukul 8 pagi. Sebelum ni, rekod terbaik aku balik kampung paling awal pun pukul 11 pagi.

Lepas bangun aku terus pergi hantar Encik Radzawan ke stesen bas. Macam sebelum-sebelum ni juga, aku tetap gagal nak balik bawah pukul 11 pagi. Tapi sebelum balik macam biasa aku singgah bengkel, nak pastikan Belalang Tempur aku setaraf kelajuan Valentino Rossi. Dah siap kat bengkel, aku pecut ikut Alor Star sebelum naik highway. Jalan dari Perlis ke Alor Star memang superb. Kalau Belalang Tempur aku boleh bercakap, dah tentu dia pun join aku sekali mencarut-carut kat JKR.

Bila atas highway, bas-bas macam biasa. Bawa macam kena kejar dengan dengan anjing. Laju macam pelesit. Nasib baik aku penunggang yang berpengalaman. Walaupun dah lama tak bawa moto jauh-jauh, skill memandu yang aku turunkan kat Casey Stoney dengan Jorge Lorenza masih tak hilang.

Akhirnya aku berjaya sampai rumah dengan selamat.Oh ya, untuk pengetahuan kamu, aku cuma bawa satu beg galas saja. Habis baju-baju semua campak mana?

Ok, Syazwan atau Wan Star adalah seorang pemain gitar kapok yang baru belajar scaling walaupun dah lama pegang gitar. Itu pun kena bersuruh baru nak belajar. Disebabkan Caldina-nya (baca : Kancil) cukup besar, aku berjaya meracun beliau untuk menumpangkan beg baju yang mana aku cukup meluat kalau nak bawak balik dengan moto. So pagi tadi aku dengan gembiranya naik moto tanpa bawa beg banyak-banyak.

Amacam, bijak tak?

Monday, October 26, 2009

Minggu lepas adalah minggu yang hectic buat saya. Semuanya sebab sikap tipikal saya. Buat kerja di saat-saat akhir.

Tapi buat kerja last minute ada juga faedahnya.

"Kita buat kerja last-last minute ni baru boleh betul-betul buat. Elok pulak tu assignment kita ni", kata rakan saya yang berasal dari Pulau Indah, Klang. Tiap-tiap malam dia kena melapor diri kepada seorang gadis yang kadang-kadang merajuk sebab dia terlalu tumpu kepada kami, bukan kepada gadis tersebut. Cemburu. (Seorang gadis cemburu kepada lelaki? Huh.) Ok. Lain cerita.

***

Minggu ini berita bolasepak tertumpu kepada pasukan Liverpool, pasukan yang kurang konsisten pada pendapat saya. Satu dunia sudah tahu mereka beat pasukan Manchester United.

"Dapat mesej dari budak Liverpool ke Tom?", tanya saya bila handphone-nya berbunyi.

"Hmm..", kata Tom. Senyum.

Sebagai peminat Arsenal, kekalahan Manchester United tak bawa apa-apa kesan untuk saya, tambah-tambah lagi bila Arsenal bermain bola untuk first half saja. Untuk second half mereka tak main bola. Mungkin main congkak di tengah padang, diketuai oleh Alex Song.

***

Oh ya. Minggu depan saya terpaksa berdepan dengan sesuatu yang saya sangat tak sukai.

Final examination.

Doakan saya!

Wednesday, September 16, 2009

Diari pendek Ramadan saya # 3 - Balik kampung.

12.30 p.m.
Aku terjaga. Tengok-tengok jam dah pukul 12 lebih. Cis, rosak plan aku yang kononnya nak balik awal. Malam semalam masa telefon mak aku cakap nak balik pagi. Sudah la tak bangun sahur pagi tadi. Rasa macam nak masak megi dulu pun ada. Tapi kalau dah buka awal nanti tak feel pulak nak buka puasa kat rumah. So, aku tahan saja.

1.00 p.m.
Dah siap mandi, aku pack barang-barang raya. Baju, jeans dengan selipar crocs cap siam. Pastu dengan baju-baju yang belum basuh lagi. Basuh kat kampung. Jimat sikit bil elektrik rumah sewa. Encik Farid datang rumah. Nak pergi beli baju raya katanya dengan bebudak rumah aku. (Lain kali beli awal Farid. Baru boleh balik kampung awal. Haha.) Lepas tu aku ke bengkel untuk servis Belalang Tempur. Semalam masa aku test butang NOS dia dah rosak.

3.00 p.m.
Dah siap tukar minyak hitam dan Belalang Tempur pun dalam keadaan superb, aku pecut balik ke kampung. Sebelum balik aku salam Selamat Hari Raya dulu kat bebudak rumah yang balik lambat. Kasi depa panas sikit.

Minyak aku isi full tank. Naik highway dari Alor Star Selatan. Macam biasa kalau ada lori-lori atau bas besar, aku tekan butang NOS untuk potong. Malas nak ikut belakang. Bahaya. Banyak juga aku tengok bebudak balik kampung masa atas highway.

6.00 p.m.
Aku nampak signboard Jawi, Nibong Tebal. Wah! Seronok gila sebab dah nak sampai rumah. Dah lama sebenarnya tak balik rumah. Sampai saja rumah, mak ada kat luar.

Baru aku ingat, hari ni ada moreh buka puasa kat surau. Anjuran pemuda kampung. Aku terus pecut ke surau. Dah 6.30, muka-muka pemuda kampung aku boleh kira dengan jari. Semua lambat datang.

7.00 p.m.
Belum masuk waktu buka puasa lagi. Aku tolong apa yang patut, pastu ke belakang surau.
.............................................................................................

Cis, semua berbuka puasa waktu Sabah. Muka-muka pemuda semua tibai makan nasi dulu.

Friday, September 11, 2009

Diari pendek Ramadan saya #2 - Rock




Kadang-kadang rakan-rakan panggil saya Synyster Gates atau Mike Einziger..

***

Notakaki :
1. Gitar tu memang cantik. Tapi bunyi tak sedap langsung. Kena tukar tali rapia baru sedap agaknya.
2. Jamming waktu malam, lepas Terawih. Harap maklum.
3. Sony Ericsson K770i masih belum mampu untuk capture gambar yang cantik.

Tuesday, September 8, 2009

Diari pendek Ramadan saya #1

19 Ramadhan.

5.00 pagi.

1. Ditemani rancangan TopGear musim ke-13, ulangan lagu Suicide Note oleh Disagree dan tak lupa juga lagu Raya, aku membuat sesuatu yang jarang sungguh dibuat. Prepare untuk test subject Managerial Economic yang berlangsung pada pukul 8 pagi.

2. Lelaki tipikal memang begini. Preparation saat-saat akhir adalah tabiat yang sudah sebati dalam jiwa. Konon-konon lepas sahur banyak tenaga sikit. Cis..

3. Aku start prepare pukul 12 malam. Sebelumnya bermain kad. Bukan sebab sudah master subject tu, tapi perasaan malas tetap menjadi raja di hati. Tapi bukan itu yang menjadi isu di sini.

4. Lagu raya yang dimainkan oleh MediaMonkey laptop Openg adalah lagu nyanyian Mamat, Ku Pohon Restu Ayah Bonda. Sebaik mendengar lagu itu, aku tersentap. Untuk beberapa saat aku berasa sedikit emosi.

5. Dalam bulan Ramadan ni aku rasa baru 2-3 kali saja aku call rumah kat kampung. Gadis-gadis memang selalulah aku telefon. Nampak sangat hari ini aku kena call mak. Tapi bukan untuk minta duit belikan baju raya, sekadar nak bertanya khabar.

***

Tapi kalau ada peluang aku rasa nak minta juga..

Saturday, August 22, 2009

Selamat berpuasa.

1. Setelah lama tidak up-date, di sini aku mahu mengucapkan selamat berpuasa jika kamu sedang membaca blog yang entah apa-apa ini.

2. Musim bola sudah bermula. "Pergaduhan" antara peminat-peminat bola sepak kembali lagi. Tidak terkecuali aku. Aku gemar membaca blog sokernet yang ada sesetengah penulisnya sudah aku baca blog peribadi mereka. Sudah beli pemain yang kamu mahu dalam Fantasy Football?

3. Jam di laptop sudah pukul 6.50 p.m. Aku belum beli nasi berbuka lagi ni!

Sunday, June 28, 2009

Hasil teknologi dan kejuruteraan terhebat zaman ini.

Zaman aku masih kecil lagi, aku mengkagumi dua buah jentera yang pada pendapat aku, adalah jentera yang begitu hebat sekali.

Yang pertamanya adalah Proton Saga, kereta nasional pertama negara.

Dan yang keduanya adalah ini :


Gambar ini dirembat dari sini.

Ia dipanggil 'mesin padi'.

Tahap keterujaan aku terhadap mesin ini sukar digambarkan. Masa kecil-kecil, aku kerap kali melukis gambarnya. Sekarang, apabila tiba musim menuai, emak selalu berkata "Dah tak melukis gambar mesin padi? Dulu hang selalu lukis," sambil tersenyum.

Aku berkongsi minat yang sama dengan Syukri. Halaman rumahnya menjadi tempat kami mencurah kreativiti dengan membuat 'replika' mesin padi. Syukri 'merembat' sebiji kerusi bas yang berkarat untuk dijadikan asas replika kami. Bahagian petak belakang, (kalau dalam sebuah mesin padi, ia digunakan untuk menyimpan padi.) kami gunakan papan. Bahagian pisaunya pula (bahagian depan mesin padi), kami gunakan sebiji tong drum.

Habis rumput di halaman itu kami 'potong'. Aku berasa begitu bangga dengan rekaan kami.

Tapi itu dulu. Ia adalah sebuah kenangan yang manis.

Sebelum jentera ini ada di kampung aku, pesawah-pesawah menuai padi dengan cara tradisional.
Mula-mula mengerat padi (menuai padi) dan kemudian memukul padi ke dalam tong :





Sebagai seorang pesawah, ayah tidak terkecuali juga. Ini termasuklah aku. Kerja-kerja mengerat dan memukul padi sungguh meletihkan. Pinggang aku akan sakit selepas selesai memukul padi.

Di kampung aku, sekarang adalah musim menuai. Mesin padi ada juga pro dan kontranya. Jalan tar di kampung aku, habis berlubang dan berlopak besar angkara mesin ini. Untuk kepastian, tanya Mr Hidayat bagaimana teruknya jalan-jalan di kampung aku.

Tetapi, jasa sebuah mesin padi sungguh besar. Ia memudahkan pesawah-pesawah untuk menuai padi.

Ia juga memudahkan aku kerana tidak perlu lagi disuruh oleh ayah untuk turun ke sawah dan memukul padi.

Terima kasih hasil teknologi dan kejuruteraan terhebat zaman ini.

Gambar-gambar dan untuk lebih info, klik di sini.

Wednesday, June 17, 2009

Mr Smith, Mat Tom, Mr Openg dan saya.

Satu petang yang indah..

Tengah melepak minum dan makan nasi lemak di kedai Pak Su, Apis a.k.a Mr Smith memecahkan suasana..

"Eh malam ni jom tengok filem "Bohsia" nak?"

Minggu itu adalah minggu peperiksaan akhir semester. Kami sebenarnya baru pulang dari menelaah pelajaran. (Konon-kononnya. Padahal tidur lebih banyak dari membuat revision.) Jadi bolehlah release tekanan sedikit.

"Elok juga tu. Hangpa?" kata Mat Tom yang cuba berbahasa utara kepada aku dan Mr Openg. Mat Tom sudah tertarik agaknya tengok iklan filem "Bohsia" itu. Aku dapat merasakan pandangan Mat Tom terhadap filem itu. Sexy.

Aku lantas menjawab "Okay. Tapi kita nak pergi naik apa?"

" Kita pinjam kereta Farid nak?" balas Mat Tom kerana menyedari bahawa kereta kepunyaan Shai, housemate-nya, memang susah untuk dipinjam.

Kereta milik Encik Farid memang banyak berjasa. Dengan kereta dia lah kami pergi makan, dengan kereta dia lah kami dihantar ke stesen bas untuk pulang ke rumah, dengan kereta dia lah aku mula belajar memegang stereng..dan dengan kereta dia lah kami pergi meng-usha gadis-gadis di dalam kampus.

Setelah berjaya negotiate dengan Encik Farid, kami pun masuk dan duduk di dalam kereta itu.

Tapi driver seat-nya tiada seorang pun yang duduk.

*** *** ***

Mr Smith, Mat Tom dan saya usahkan lesen memandu, pegang stereng pun tak pernah. Mr Openg satu-satunya yang pandai memandu. Malangnya, Mr Openg pun tiada lesen.

Berkecai harapan nak tengok "Bohsia".

Mr Smith, Mat Tom, Mr Openg dan saya. Keempat-empat orang tak boleh pakai.

Monday, June 1, 2009

Sudah masuk bulan Jun rupanya hari ini.

Isnin, 1 Jun 209, 7.00 a.m.

Penggera telefon aku memekak menandakan sudah sampai waktu untuk bangun.

Tanpa menunggu lama, aku snooze untuk pertama kali. Seterusnya aku tidak ingat berapa kali snooze. Tahu-tahu saja jam sudah pukul 8 a.m. Dengan penuh perasaan benci aku bangun untuk mandi dan bersiap sedia ke 'ofis'.

Aku menyumpah-seranah diri sendiri sebab malam tadi main badminton dan tidur lambat. Degil. Akibatnya aku letih dan masih rasa mengantuk lagi.

Aku bertolak ke ofis dengan menunggang Belalang Tempur aku. Sampai ofis pukul 8.50 a.m. dan terus 'punch card'. Minggu ini adalah minggu ke-2 aku.

Tapi yang tak bestnya, 'bos' aku sudah sampai lebih awal daripada aku. Encik Usop namanya. Orangnya sudah tua, tapi masih lagi gagah dan bertenaga.

'Ofis' aku adalah tapak rumah datuk atau aku panggil Tok Wan. Bos aku adalah seorang tukang rumah. Jadi konon-kononnya aku ni lebih kurang assistant bos lah.

Hari ini seorang lagi tukang rumah iaitu Encik Isyam tak datang masuk ofis sebab dia pergi buat kerjanya kat ofis lain dengan seorang lagi assistant iaitu Encik Amy. Bukan Amy Search tahu.

Encik Isyam adalah adik Encik Usop dan Encik Amy umurnya jauh lebih muda dari aku. Tapi kederat beliau lebih kuat daripada aku. Beliau sudah beberapa tahun jadi assistant Encik Isyam, jadi beliau ada banyak pengalaman kerja buat rumah ini.

Okay, apa yang mengagumkan aku adalah cara-cara mereka buat kerja. Semuanya menggunakan cara old school. Cara tradisional. Cara orang-orang lama.

Salah satunya adalah semasa kami yang 4 orang ini, mampu mendirikan tiang rumah yang berat itu dalam masa satu hari. Ada 6 tiang semuanya, menggunakan gabungan 4 kederat. Aku kurang pasti beratnya tiang-tiang itu, tapi zaman-zaman post-merdeka dulu, untuk mendirikan tiang-tiang di rumah memerlukan lebih kurang 10 orang.

Satu lagi yang aku perhatikan adalah ilmu pertukangan yang mereka ada. Cukup bagus hasil kerja mereka walaupun menggunakan peralatan yang minima. Ilmu-ilmu yang aku dapat amat berguna. Tiang nak kena tegakkan (90 darjah. Lebih kurang). Tapak untuk letak tiang perlu kukuh. Dinding rumah perlu kemas.

Aku berpendapat yang kerja-kerja begini memerlukan skill, pengalaman, ketelitian dan juga tahap seni yang tinggi supaya hasilnya nanti memuaskan. Seorang tukang rumah akan merasa bangga jika rumah yang mereka hasilkan cantik dan mendapat pujian orang lain.

Tak ketinggalan juga stok rokok pek 20 amat diperlukan. Encik Usop sehari bawa 2 pek rokok 20. Sambil buat kerja, rokok perlu ada di mulut. Sebagai tenaga tambahan mereka mungkin. Atau mungkin juga untuk mencari ilham menghasilkan tukangan yang cantik.

Satu lagi yang diperlukan adalah tenaga fizikal yang banyak. Encik Amy selamba saja angkat tiang. Tapi bila aku angkat..rasa macam nak luruh semua tulang-tulang. Tapi kalau hari-hari buat macam itu, lagi 2 tahun aku boleh masuk Mr Universe.

*****

5.30 p.m.

Masa untuk balik rumah. Aku orang pertama balik. (Datang lambat. Balik awal. Mengelat betul.)

Sampai saja rumah, aku keletihan dan sakit-sakit badan. Emak dengan selamba memerli sinis, "Macam mana? Penat tak nak cari duit?"
Jawapan aku agak angkuh sebab cuba nak jaga ego "Eleh, tak letih pun. Senang saja."

Tapi keletihan yang macam itu hilang apabila minggu lepas bos menghulurkan duit advance dan berkata kepada aku "Nah duit. Tak kan datang tolong free saja kot?"

Sunday, May 10, 2009

Pengalaman ngeri saya akhir-akhir ini sudah tamat.

Jumaat lepas adalah hari pembebasan saya. Kelmarin saya selamat sampai di rumah dan menikmati nasik di rumah. Bukan seperti hari-hari sebelumnya, lunch dengan megi.

1. Gambar tiada kaitan dengan tajuk. Ia merujuk kondisi saya yang baru mula bercuti.
2. Posting ini bertujuan untuk 'mengisi' blog saya. Supaya taklah nampak 'kosong'.
3. Cuti ni saya bercadang nak kerja. Harapannya kalau ada gaji lebih, nak angkat Ferrari sebijik.
4. Perkara yang saya benci minggu lepas : Manchester United dan Chelsea.

Tuesday, April 14, 2009

Abah.

1986-1998

Sebagai budak yang lahir di kampung, masa budak-budak aku agak nakal. Mandi parit, bergaduh dengan adik, dan ada juga kadang-kadang seluk poket abah dan ambil duit dia.

Masa zaman budak-budak, abah agak garang dengan aku dan adik-beradik yang lain. Ada satu hari tu, aku berkubang (mandi) parit dengan adik aku. So bila dah lama sangat kami mandi, abah suruh naik. Kami buat-buat tak dengar. Terus mandi. Banyak kali juga abah suruh naik, tapi kami degil. Akhir sekali, abah datang bawa kayu nak rotan kami. Dia bawa kami, ikat kat pokok asam belakang rumah. Yang aku tak boleh lupa ialah pokok tu banyak kerengga. Meraung kami. Mak aku kesian. Dia yang tolong bukak ikatan tu. Yang ni antara kenangan yang paling aku tak boleh lupa.

Bila malam, mak dan abah mengajar budak-budak kampung mengaji di rumah. Jadi bila semua dah balik, sampai lah turn aku untuk mengaji. Biasalah kan. Mengajar anak orang memang senang, tapi mengajar anak sendiri susah sikit. Aku baca tergagap-gagap. So abah marah la sebab orang lain boleh baca, aku baca pulak tak lepas. Abah marah aku cukup-cukup. Sampai menangis. Nasib baik mak aku tenangkan dan pujuk aku balik.

1999-2003

Ada banyak lagi yang aku lupa. Tapi lama-kelaman, bila aku dah masuk sekolah menengah, abah kurang sikit garang dia tu. Ia membuatkan aku berfikir yang masa kecik-kecik dia garang sebab nak didik kami semua. Baru aku tahu makna tanggungjawab.

******

Disember 2008

Sebagai orang yang sudah berumur, abah ada penyakit. Penyakit penat. Semua ni berpunca dari rokok Surya. Abah adalah seorang yang tegar. Kalau demam, dia akan demam seminggu terus. So mak akan selalu sound supaya berhenti. Tapi abah tetap juga macam tu.
Satu malam tu, masa nak pergi tandas, tiba-tiba abah pengsan. Siangnya abah sudah 3 kali kena hujan.(Abah akan demam kalau kena hujan sebab sejuk) Bila aku tengok saja keadaan abah masa tu, aku rasa macam nak menangis. Nasib baik masa tu kami adik-beradik ada di rumah. Abah dibawa ke hospital.

Sampai saja hospital, doktor cakap yang abah sudah tiada harapan lagi. Badan sebelah kanannya lumpuh sebab terjatuh. Aku menangis semahu-mahunya. Aku kasihankan abah. Cita-cita abah untuk pergi haji belum tercapai. Aku pula belum bekerja dan tak sempat lagi nak balas jasa abah. Aku teringat yang abah bersusah-payah bekerja untuk sara kami. Aku jadi sedih yang teramat sangat.

Pukul 3 petang esoknya, keajaiban berlaku. Abah sedar dari pengsan. Aku bersyukur kepada Tuhan sebab makbulkan doa aku. Peristiwa ni banyak bagi pengajaran untuk aku. Sejak dari hari tu, aku lebih kerap call abah untuk tanya pasal kesihatan dia. (Tak lupa juga untuk minta duit sekali,haha.. ) Kami adik-beradik lebih caring pasal abah.

******

13 April 2009

Semalam (yaitu pada 13 April), abah aku sudah berusia 55 tahun. Abah masih lagi sihat dan mampu bekerja. Abah sudah berhenti merokok. Tahun depan mungkin abah bersara. Aku hanya mampu call dan mengucapkan selamat hari lahir dan terima kasih sebab membesarkan aku. Aku belum mampu untuk beli hadiah untuk abah.

Jika kamu adalah seorang abah, saya respect kamu atas tanggungjawab yang kamu jalankan.

Terima kasih abah..

Tuesday, April 7, 2009

Pengalaman ngeri saya sejak akhir-akhir ini.

2-3 minggu kebelakangan ini, aku terpaksa berdepan dengan pengalaman yang cukup tak best. Dan realitinya aku terpaksa berdepan dengan pengalaman ngeri ni untuk jangka masa yang panjang. Bukan aku saja, ramai lagi yang berdepan dengan pengalaman ni.



Ini baru satu. Ada lagi dua gambar yang berjaya aku capture. Ish, geli kalau tengok lama-lama. Yang jarang tengok, selalu-selalu lah tengok ya. Ia mampu membuatkan kamu semua tak lalu nak makan nasi,hahaha..



Wednesday, March 18, 2009

Aku rasakan masa seolah-olah mahu membunuh aku di kala aku memerlukan pertolongan.

1.

"Kalau kamu dah kerja nanti, mesti kamu rasa nak masuk belajar lagi, sebab kamu rasa memori belajar tu masih kuat lagi."

Itu lah kata-kata salah seorang pensyarah aku di sini. Aku tak pasti kata-kata itu benar atau pun tidak. Mungkin juga ada benarnya, sebab dia bercakap berdasarkan pengalaman dia.

Tapi apa yang aku pasti adalah aku semakin muak, meluat, benci, letih dan 1000 satu macam perasaan tak suka apabila memikirkan bahawa aku kena menghadap buku dalam masa 2 tahun lagi. Terasa macam 2 tahun tu lama gila.

"Kalau orang kerja sekurang-kurangnya dia ada motivasi nak kerja sebab tiap-tiap bulan ada gaji", luah kawan aku, Farid.
"Yela tu. Kita belajar ni menambahkan hutang ada lah. Hutang masa diploma lagi. PTPTN tu dah la kuat menipu", tambah aku pula.
Farid yang memulakan topik ni dulu. Dia pun sudah bosan dengan kehidupan sebagai pelajar. Setiap minggu ada saja assignment yang nak kena buat. Kuiz, test, bersepah. Itu kata Farid. Aku mengiyakan sahaja.

Tapi bila aku dalam kelas tadi, ada pensyarah aku cakap macam ni; "Kamu tengok Obama marah sebab syarikat AIG buat hal." Itu merujuk kepada sikap management di sana tidak menggunakan wang yang diperuntukan dengan betul.
Sepatutnya wang sebanyak $170 billion itu di gunakan untuk membantu syarikat, tapi ia digunakan untuk membayar bonus kepada eksekutif mereka. (Klik di sini untuk berita lanjut) Tapi issue yang ingin aku cakap di sini ialah tentang kemelesetan ekonomi yang melanda dunia dan Malaysia khususnya. Banyak pekerja-pekerja yang dibuang kerja, atau diberi cuti tanpa gaji.

Jadi konklusinya di sini adalah aku patut bersabar, bersabar dan terus bersabar. Syukur kepada Tuhan kerana Dia telah menentukan bahawa pada masa ni aku masih belajar. Kalau sedang bekerja, silap-silap esok aku dah dapat surat pemecatan agaknya.

2.

Konsistensi dan Arshavin. 2 perkataan yang paling aku suka sekarang ini. Skuad Arsenal sudah mula mendapatkan tahap konsistensi mereka semula. Dimulakan dengan kejayaan terhadap Burnley dalam saingan Piala FA, melepasi halangan UEFA Champions League ketika bertembung dengan AS Roma, membelasah Blackburn dalam saingan liga, dan terbaru menundukkan Hull dalam pertembungan Piala FA.

Untuk terus bersaing dalam liga, konsistensi adalah perkara paling penting. Arsenal tiada perkataan itu dalam diri mereka sebelum ini. Aku berharap mereka meneruskan tahap konsistensi tersebut sehingga penhujung musim.

Arshavin...Ya, terima kasih atas persembahan mantap anda sejak datang ke Stadium Emirates ini. Dia adalah nyawa kepada skuad Arsenal sekarang ini. Arshavin mengaku bahawa bermain di liga Inggeris adalah sukar. Sukar untuk bergerak dan menjaringkan gol, sehinggalah beliau berjaya menyumbat gol ketika menentang Blackburn. Terima kasih sekali lagi. Aku begitu tak sabar untuk berkata "selamat tinggal Champions League" kepada penyokong-penyokong di Villa Park bila musim ini berakhir....

Monday, March 9, 2009

Mencari Misha Omar. Di manakah beliau? Adakah beliau anak saudara seorang Tok Batin?

Hari Jumaat sampai Ahad yang lepas aku pergi ke kursus yang bertajuk "Corporate Team Building". Ia bertujuan untuk mendedahkan serba sedikit bab-bab untuk berkerja dalam satu kumpulan. Aku attend kursus ni di PJ Sentosa Campsite, Kuala Nerang. Ia percuma sebab duit adalah daripada budget IPTA aku ni.

Perception aku pada mulanya adalah ia bakal menjadi bosan sebab aktivitinya mesti kerja dalam kumpulan. Dan perception aku tu agak benar sebab hari Jumaat tu memang bosan. Tapi bila sampai hari Sabtu, ia mula berubah sebab adanya aktiviti fizikal yang menyeronokkan juga.

Petang Sabtu ialah aktiviti berkayak. Semasa training, team aku memang power. Laju gila, sampai tertinggal pencabar-pencabar yang lain. Ini kerana majoriti mereka tidak pernah berkayak langsung. Aku juga sebenarnya jarang berkayak. Tapi aku ada kelebihan sikit sebab pernah beberapa kali juga berkayak. So, aku kata dalam hati "Selamat tinggal team lain. Team aku nak menang kali ni", sambil aku ketawa jahat. Tapi bila sampai masa bertanding tu, aku tersilap strategi. Rakan aku yang beratnya dua kali ganda daripada aku,(aku agak) duduk di bahagian belakang. Bila mula saja, aku mula rasa letihnya tangan aku untuk mendayung sebab beban yang berat. At the end, aku kalah juga. Siap kena tinggal lagi. Hahaha. Padan muka aku sebab agak angkuh sebelum tu. Lepas tu kami dibenarkan 'berkubang'.(Ni bahasa utara. Maksudnya adalah berenang). Masa ni memang best. Aku berenang puas-puas sebab dah lama tak 'berkubang' ni.

Malam nya adalah aktiviti masuk hutan. Sebelum masuk tu, fasilitator tu punya la psycho kami. Ada ular la, harimau la. Pacat, lintah. Aku agak cuak juga. Harimau tu. Kena 'ngap' nanti. Aku dah la tak kahwin lagi. Hahaha. Tapi rupa-rupanya hutan getah saja. Ceh. Kena tipu rupanya kami. Salah seorang fasilitator tu adalah pesara tentera. So, dia memang pandai bab-bab psycho ni. Terima kasih kepada bulan kerana 'menyuluh' hutan tu dengan lampunya.

Hari Ahad pula ada aktiviti celebrity hunt. Tajuknya adalah "Mencari Misha Omar". Konon-kononnya Misha Omar sanggup datang untuk kami. Team aku ditipu oleh diri sendiri sebab tersilap tengok map. Nenek Kebayan pula buat-buat lembab nak bagi map untuk clue seterusnya. Akibatnya team aku lambat untuk berjumpa Puteri Pokok Getah dan lambat juga untuk bertemu Misha Omar. Kami bukan bertemu Misha Omar, tapi bertemu dengan Tok Batin sebab tidak sampai dalam masa yang ditetapkan. Misha Omar pula sudah dilarikan oleh puak penjahat. Cis...


Aku menyifatkan ia adalah kursus yang overallnya menarik juga. Tapi bukan sebab aktiviti tu, ia best sebab aku berjaya juga untuk bertegur sapa dengan seorang rakan sekelas aku yang agak susah untuk ditegur di kelas.(Dia adalah wanita yang agak pemalu sedikit.) Dan yang pentingnya aku sudah mendapatkan nombor telefon nya....

Thursday, February 26, 2009

Menonton kembali idola-idola bermain membuatkan aku terasa sedikit emosi.

Sebenarnya aku kekurangan idea untuk menulis. Bukan apa, aku rasa tiada apa yang menarik untuk di'post'kan ke blog ini. Tetapi setelah menonton perlawanan bolasepak di antara Real Madrid menentang Liverpool semalam memberi sedikit idea untuk aku menulis.(Perlawanan tersebut adalah Perlawanan UEFA Champions League)

"Satu hari nanti aku nak pergi juga ke stadium ni", kata aku kepada Farid setelah menonton klip bolasepak yang menunjukkan suasana stadium keramat Real Madrid, Stadium Santiago Bernabeu. Itu adalah beberapa jam sebelum aku pergi ke rumah Kamal untuk menonton perlawanan itu.(Kamal adalah salah seorang peminat pasukan Liverpool).

(Gambar: Kapten dan lagenda pasukan Juventus, Alessandro del Piero)

Juventus juga bermain pada malam semalam, serentak dengan perlawanan tersebut. Mereka menentang pasukan yang dibimbing Guus Hiddink, ya-itu Chelsea.

Raul, Zinedine Zidane, Luis Figo dan Raul adalah idola aku dalam pasukan Real Madrid manakala Alessandro del Piero pula adalah pemain pujaan aku dalam pasukan Juventus. Mereka adalah antara insan-insan istimewa dalam dunia ini kerana mereka begitu hebat sekali dan kerana mereka adalah lagenda.

Persamaan antara Real Madrid dan Juventus adalah kedua-dua pasukan tersebut merupakan pasukan idola aku satu ketika dahulu. Ketika itu aku begitu mencintai bolasepak. Aku begitu rajin mendapatkan informasi berkaitan bolasepak. Siapa penjaring dalam perlawanan, pasukan mana yang menang pada setiap minggu sehinggakan informasi bolasepak di Amerika Selatan dan benua Afrika pun aku tahu. Liga Perdana Inggeris? Tak usah cakap. Aku master dalam bidang itu. Aku boleh namakan setiap pemain yang bermain di Liga Perdana Inggeris. Siap dengan nombor jersi yang mereka pakai pun aku tahu.

Ketika itu aku begitu kagum dengan pengurusan bolasepak Inggeris. Yang paling menarik perhatian aku adalah mereka menyediakan statistik setiap pasukan, setiap pemain dan setiap perlawanan. Begitu sistematik sekali. Kalau sekarang ini sampaikan jumlah jarak larian setiap pemain pun mereka kira. Memang hebat. Pengurus pasukan pula memang celupar. Alex Ferguson dan Arsene Wenger tak bolah duduk sekali. Roy Keane dan Patrick Vieira pula pantang berjumpa. Pasti bergaduh dalam padang.

Dan kesannya adalah aku mula bermain bolasepak secara serius. Walaupun sampai sekarang tak hebat-hebat pun lagi, sekurang-kurangnya aku tahu juga cara menghantar bola, menyepak bola dan pelbagai lagi. Aku mula mengumpul majalah-majalah berkaitan bolasepak. Majalah bolasepak Football Weekly(kalau tak silap) yang mahal itu pun aku beli. Jersi pasukan pula makin banyak terkumpul di rumah. Ayah aku pernah membuang perkataan Carslberg pada jersi Liverpool yang aku beli. Aku agak marah juga ketika itu. Tapi lama-kelamaan aku faham. Betul juga tindakannya itu. Antara poster yang paling aku ingat ialah poster Luis Figo yang ditampal di dalam bilik. Sekarang aku tak tahu mana perginya poster itu. Mungkin sudah dikoyak oleh emak aku agaknya.

Itu dulu. Sekarang aku sudah agak kurang penyakit footballitis ini.(penyakit gila bola). Aku kurang pasti mengapa agaknya jadi begitu. Mungkin kerana bila aku memasuki alam universiti, aku agak kurang sedikit mangambil tahu.

Tapi tak apalah. Apa yang aku pasti adalah kecintaan aku terhadap bolasepak tidak pernah pudar. Sedikit pun tidak.

Monday, February 9, 2009

Terima kasih Metallica dan 'Nothing Else Matters'nya.

Aku menulis post ini dalam keaadan emosi aku yang sudah stabil. Kenapa agaknya ya? Ini kerana jika ingin buat posting baru, aku kena berada dalam mood yang okay dan disokong pula dengan kondisi sekeliling yang menyokong aku. Ini hanyalah pendapat aku sahaja. Pada aku, sukar untuk memberi emosi dan rasa kepada posting jika kepala berserabut, walaupun ada idea untuk menulis. Jadi, sekarang emosi, kondisi dan kewangan menyokong aku untuk menulis. (Kewangan? Rumah sewa aku tiada Internet. Kena ke cyber cafe untuk online, hahaha.)

Panjang pula introduksi tadi. Baiklah. Hari ini aku impressed dengan diri aku. Kenapa? Kerana hari ini aku berjaya masak lauk sardin dengan cemerlang untuk makan tengahari tadi. Di campur pula dengan telur dadar yang menyelerakan. Memang masakan tadi perfect pada pandangan aku. Terima kasih kepada Fauzi yang tag team dengan aku untuk memasak tadi. Lain kali boleh kita eksperimen masakan lain pula.

Sebelum masak untuk tengahari tadi, emosi aku agak tertekan. Tertekan akibat persembahan buruk Arsenal ketika menetang musuh se-Londonnya, Tottenham Hotspurs. Aku mengaku harapan Arsenal untuk ke Champions League next season semakin tipis. Ditambah pula dengan ketiadaan Arshavin di dalam perlawanan tersebut, semakin menyukarkan mereka. (Nota untuk Eboue: Lain kali jangan menyusahkan pasukan sendiri. Lebih baik hang berambus saja dari Arsenal.)

Itu pasal bola sepak. Pasal assignment pula, aku sedikit berserabut dengan assignment yang perlu disiapkan untuk presentation malam ini. Nasib menyebelahi aku malam semalam. Terima kasih kepada Encik Kipas kerana memberi jawapan kepada soalan untuk presentation aku. Walaupun aku agak bencikan hang sebab asyik membodek pensyarah, pertolongan itu tetap aku hargai.

Tetapi, emosi aku berjaya distabilkan setelah mendengar kembali lagu 'Nothing Else Matters' dendangan Metallica pagi tadi. Lirik lagu tersebut membawa harapan kepada aku. Ia amat kena dengan kondisi aku.

So close, no matter how far
Couldn't be much more from the heart
Forever trusting who we are
and nothing else matters

Never opened myself this way
Life is ours, we live it our way
All these words I don't just say
and nothing else matters

Trust I seek and I find in you
Every day for us something new
Open mind for a different view
and nothing else matters

Aku paling tertarik dengan "Life is ours, we live it our way". Yeah. Aku kena hidup dengan cita-cita sendiri, dan melakukannya dengan cara aku sendiri. Aku pasti kamu juga kadang-kadang tertekan dalam hidup, dan memerlukan sesuatu stimuli untuk bangkit melawan tekanan tersebut. Dan stimuli aku kali ini adalah lirik lagu tersebut. Ia memberi inspirasi.

Terima kasih James Hetfield, Lars Ulrich, Kirk Hammett dan Jason Newsted.


Ini adalah gambar kaca mata yang aku dan rakan-rakan beli semasa pergi ke Padang Besar hari Ahad lepas. Maaf, gambar ini tak cantik.Tapi sebenarnya aku ingin menulis tentang pengalaman pergi ke Padang Besar tapi kesuntukan masa. Tak apalah, lain kali kalau pergi lagi mungkin akan aku tulis. Jenama kaca mata ini adalah RayBan. Harga? RM30 untuk 3 bingkai. Siam mari!!

Tuesday, January 27, 2009

Bercuti di rumah orang gila boleh menjadikan kamu begitu juga.

Minggu ini sepatutnya aku pulang ke rumah untuk bercuti pertengahan semester. Tapi aku perlu menghabiskan sedikit kerja yang dateline sudah hampir. Memandangkan housemate aku sudah balik rumah, aku pun melepak di rumah kawan-kawan yang tak balik juga.

"Mak aku dah tak sayang aku lagi dah la. Mengabiskan beras je balik rumah", kata Pak Din, melawak dengan aku.

"Aku malas la nak cari tiket balik", luah Apis aka Mr Smith.

Kerja aku adalah bangun tidur, balik rumah kejap untuk padam lampu luar, mandi dan pergi makan tengah hari bersama-sama mereka. Aku kena mamastikan motorsikal yang ada kat rumah itu ada dan selamat. Nanti mereka sudah habis cuti, aku nak suruh mereka belanja aku sebagai balasan.

"Aku ada sikit-sikit mix Korea dengan Mexico",kata Eddy, pekat dengan pelat Sabah nya.
"Yela tu.Hang iyakan aja kata dia tuh", kata Apis, Pak Din dengan Padil kepada aku. Mereka sudah faham dengan perangai Eddy.

"Ish, panas la kat sini", kata Eddy semasa pulang makan di kedai nasi 2 ringgit.
"Yela. Panas gila nih", kata aku pula.
"Aku tak biasa panas-panas nih. Maklumla kulit aku sensitif sikit dengan matahari. 5 minit kena cahaya matahari, terus jadi hitam kulit aku. Kat Sabah tak macam ni pun. Kulit aku putih aja", sambungnya lagi.

"Haha. Pala otak hang. Masalahnya macam la hang putih sangat", kata aku lagi sambil ditambah dengan carutan-carutan kepada beliau.

Tadi, semasa makan malam di Kotiau Abah, "Hang nak sikit? Ambik la hati ayam ni", Pak Din kepada Eddy.
"Tak payah la. Aku dah banyak makan hati selama ni", balas Eddy, merujuk kepada kekecewaannya kepada seorang wanita yang dia admire gila-gila.

Yang itu memang kena dengan kau Eddy. Hahaha.

Apis : Eh, esok aku kejut hang tau. Pergi beli ayam kat pasar. Boleh masak. Jangan jadi macam semalam pulak. Penat-penat aku stay sampai pukul 8, hang tak bangun pulak.

Eddy: Ahh.. Salah aku pulak. Ni, jantan ni. Aku kejut dia tak bangun, aku tidur la balik.
Kata Eddy kepada aku.

Aku: Ahh.. Hang tuh yang tak kejut, salahkan aku pulak.

Kalau main kad, tak pernahnya orang lain menang. Asyik-asyik kau saja yang menang Padil. Tak habis-habis dengan 5 kad kau tu. Eddy punya lah simpan 5 kad dia yang tak kuat itu, last-last kau juga yang menang.

Apis: Kau ni Din, kejap lagi kau lapar baru la kau keluar bilik kan?
Katanya merujuk kepada Pak Din yang asyik memerap dalam bilik.

Aku: Hang kalau frust, boleh mintak advise kat Eddy nih. Dia banyak pengalaman macam mana nak handle perasaan lepas kena reject nih, hahaha.

Eddy: Celaka punya jantan, sempat juga kau kenakan aku ya.

Aku kerap bersembang pasal bolasepak dengan Apis. Seronok bersembang dengan beliau. Walaupun dia adalah peminat setia pasukan Manchester United, dan pasukan yang aku minat pula adalah rival MU, tetapi banyak pendapat dia yang aku setuju.

Apis: Aku malu sial dengan bolasepak Malaysia.

Aku: Aku pun malu gak beb. Gaji mahal. Main cam tu jugak.

Apis: Yela tuh. Aku rasa coach-coach kat Malaysia ni kena main Football Manager la. Baru tau sikit pasal taktikal nih. Ni tak. Asyik-asyik formation 4-4-2 aja. Kerajaan pulak perabis duit tak tentu pasal. Pergi hantar Sheikh Muszaphar tu sampai berbillion-billion. Duit tu kalau bina facilities bolasepak dengan akademi kan bagus.
Kata Apis lagi sambil menonton pasukan Napoli nya bermain dalam skrin komputernya.

Aku : Betul tuh. Tak pun bagi ja duit tu kat student-student macam kita nih.

Minggu ni adalah perayaan Tahun Baru Cina. Yang bestnya adalah televisyen menayangkan cerita-cerita best dari negara China dan Korea. "Action, ada lawan-lawan", kata aku kepada seorang rakan.

Tapi yang tak best nya adalah:

Apis: Pukul 8 tadi tak nak pulak kau main kan. Sekarang dah pukul 12 baru kau nak main.
Katanya merujuk kepada anak-anak Cina yang meletupkan mercun mereka.

Aku: Aku berharap sangat tangan kau putus.

Apis: Tak pun pecah ke jari kau. Baru best.

Begitulah hari-hari yang aku lalui beberapa hari ini. Walaupun tak balik kampung, tapi aku rasa selesa macam ni. Tak perlu susah-susah pikir nak kena tidur pukul berapa, atau nak kena buat assignment yang berlambak lagi itu. Aku rasa tenang.

Esok kami ber-5 merancang nak pergi jalan-jalan di Alor Star. Harap-harap jadilah. Tapi kalau semua bangun lambat, tak ke mana juga lah plan itu. Tak apa, Padil boleh bangun awal. Aku pasti.

P/s: Petang tadi aku menonton The Making of Ong Bak 2. Cerita tu memang patut masuk dalam list cerita-cerita yang wajib ditonton untuk tahun 2009. Memang style. "Action, ada lawan-lawan". Cerita-cerita made in Malaysia memang tak boleh lawan cerita ini. Sorry to say that kalau ada orang-orang filem Malaysia yang membaca.

Wednesday, January 21, 2009

Football post #01 - Padan muka kau.


Agakan aku tepat. Malam tadi, skuad kebangsaan(aku panggil skuad ke'bangkai'an) Malaysia kalah 0-5 kepada skuad Emiriyah Arab Bersatu(UAE).

"Skuad negara dibelasah", kata pembaca berita NTV7.

Sementara pembaca berita TV1 juga mengeluarkan kenyataan lebih kurang sama juga. Mereka juga melaporkan peminat-peminat berkumpul dan 'berdemonstrasi' kecil-kecilan selepas tamat perlawanan di Stadium PBKL Cheras. Mereka mahu ketua jurulatih B. Sathianatan dipecat dan digantikan dengan orang lain. Sedih juga ketika melihat beliau dicemuh oleh penyokong ketika melalui kawasan demonstrasi tersebut.

Tetapi TV1 mengeluarkan komen-komen dari peminat yang telah di tapis. NTV7 selamba saja mengeluarkan komen-komen yang pedas dari penyokong.

Sathianatan sendiri menyalahkan pihak FAM sebagai punca kejatuhan bolasepak Malaysia. "Liga Malaysia bukanlah liga bolasepak. Masyarakat boleh mengkritik saya. Saya tak kisah." katanya.

Aku bersetuju sangat dengan komen itu. Liga bolasepak Malaysia jadi kucar-kacir sejak 4-5 tahun kebelakangan ini. Peraturan berubah-ubah. Kejap ada pemain import, kejap takda pemain import. Dulu 8 pasukan(konon-konon) terbaik dalam 1 liga, sekarang 14 pasukan pula. Jadual perlawanan tunggang terbalik. Pendek kata, pengurusan FAM memang gampang.

Memang susah apabila orang politik mentadbir bidang sukan, terutama sekali bolasepak. Di luar negara, Eropah contohnya, hanya orang-orang yang tahu pasal bolasepak sahaja dilantik mengendalikan pengurusan. Di Malaysia, mereka-mereka ini tak tahu apa pun pasal bola sepak. Yang mereka tahu, dan mahu, adalah populariti. Memang celaka. Peminat-peminat sudah lama sakit hati dan bencikan FAM. Salah seorangnya adalah aku.

Rakan serumah aku selalu berkata begini, "Hang selalu compare player Malaysia ngan player EPL. Memang tak setaraf". Ataupun bila aku kata "Pasti Malaysia kalah malam ni", apabila ada international game, pasti dia akan kata "Hang nih tak patriotik betul la."

Mana aku tak compare. Player mereka berdisiplin tinggi. Skill hebat. Stamina tak usah cakaplah. Player Malaysia? Apa ada? Kasut bola nak mahal-mahal. Nike, Adidas atau Puma. Tapi training datang lambat. Atau tak turun langsung. Lepas tu isap rokok lagi kat tempat awam. Konon-konon nampak cool. Paling aku tak puas hati adalah gaji yang mereka dapat tak setimpal langsung dengan cara permainan mereka. Gaji berbelas-belas ribu, main macam budak sekolah. Haram jadah. Aku sudah muak dengan perkembangan bolasepak tempatan.

Aku tak nafikan juga ada player kat Malaysia ni yang talented dan berdisiplin. Tapi tak kemana jugalah kalau ada seorang-dua sahaja yang boleh main.

Blog ini menulis bahawa Kementerian Bolasepak akan ditubuhkan. Aku langsung tergelak dengan cadangan bodoh dan tak masuk akal ni.

Wahai FAM, tak payah lah habiskan duit tubuhkan ministry ni. Yang penting sekali adalah pembangunan akal umbi. Itu pun susah kah? Cakap cintakan bolasepak, takkan itu pun kau tak tahu.

P/S : Ini gambar lagenda bolasepak negara, Allahyarham Mokhtar Dahari. Jika beliau masih hidup, pasti beliau sedih dengan perkembangan bolasepak Malaysia kini.

Saturday, January 17, 2009

Mari membayar hutang.


2 hari lepas pihak Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Negara(PTPTN) telah memasukkan wang pinjaman aku. Mungkin ada di antara pegawai mereka telah membaca post aku sebelum ini dan memahami rintihan aku itu, haha.

Terima kasih kerana telah menjadikan aku kaya sebentar. Memang sekejap saja kerana sekarang aku kena membayar segala hutang-hutang aku kepada rakan-rakan. Tapi jangan ingat aku akan berhenti membenci kamu kerana kamu hanyalah pembuat keuntungan saja dengan interest atas pinjaman tersebut.

Mengenai Palestin, hari ini sudah masuk hari ke 23 mereka diserang oleh pihak Zionis. Kasihan mereka. Aku ada juga terbaca blog yang menulis tentang negara-negara jiran Palestin yang duduk diam saja tanpa memberi sebarang bantuan. Padahal mereka semua satu bangsa juga. Tentang aktiviti memboikot barangan mereka, aku tidak menyebelahi mana-mana pihak. Kalau kita memboikot KFC atau Pizza Hut contohnya, maknanya kita telah menutup periuk nasi pekerja-pekerja KFC atau Pizza Hut itu. Betul juga setelah aku memikirkan tentang ini. Tapi tak apalah, seperti kata kawan aku Jaja, kita patut berdoa banyak-banyak agar mereka selamat sejahtera. Amin....

Wednesday, January 14, 2009

"Ketegaq". Itu kata orang utara.


Sebagai seorang manusia, adalah normal untuk kita mempunyai azam baru pada setiap tahun. Tapi aku pasti ada antara kita tidak dapat mencapai apa yang kita hajati itu. Begitu juga dengan aku. Kebanyakan azam-azam aku adalah azam yang biasa saja. Tipikal. Salah satu nya adalah adalah mengurangkan aktiviti merokok aku.

Ketika cuti penghujung semester pada tahun lepas, aku berjaya mengurangkan aktiviti merokok aku kepada 6-7 batang sehari. Lagipun ibu bapa aku mesti marah kalau aku merokok dalam rumah.

Yang menjadi masalah kepada aku sekarang adalah sebaik sahaja aku kembali menyambung pengajian, aku kembali menjadi perokok tegar. Sehari boleh habis 18 batang rokok cap helang tu. Jadi aku pun selalulah berkata "Hello mak. Esok masukkan duit." Kulit muka aku sudah jadi setebal 7 inci setiap kali terpaksa mengeluarkan kata-kata itu. Aku berharap badan yang memberi pinjaman kewangan kepada aku membaca post ini dan berkata "Eh, kita belum masukkan lagi kah duit student?", dan cepat-cepatlah mereka masukkan duit pinjaman aku.

Kepada sesiapa yang membaca post ini, marilah kita beramai-ramai berdoa kepada Tuhan agar rakyat Palestin mendapat kembali hak mereka. Setiap kali menonton berita di kaca televisyen, hati aku tersentuh melihat penderitaan mereka. Aku pasti kamu juga begitu.

Monday, January 5, 2009

Sebenarnya aku bencikan kau, tapi...

Sudah 2 minggu aku menyimpan perasaan ini. Benci, meluat, letih. Minggu lepas aku baru sahaja mendaftar sebagai pelajar di sebuah universiti tempatan. Masuk semester ini, sudah 2 semester aku belajar bidang Pentadbiran Perniagaan ini. Agak menarik juga bidang ini sebenarnya kerana ia berkaitan dengan kehidupan seharian. Tapi, disebabkan tahap kemalasan aku yang agak melampau ini, minggu ini baru aku pergi kelas.

Aku pernah membaca quote yang lebih kurang begini: Walaupun jalan itu jauh dan berliku-liku, kita akan merentasinya dengan perlahan-lahan. Quote itu memang kena dengan aku. Aku kena bersabar dan perlahan-lahan merentasi alam universiti ini.

Organisasi yang meminjamkan wang untuk aku pula buat-buat lembab dalam hal pemberian duit ini. Kalau dalam hal meminta balik pinjaman mereka, laju sahaja mereka menulis surat pembayaran untuk aku. Dan untuk pelajar baru yang mahu memohon pinjaman tersebut, mereka akan melalui satu pengalaman yang menyakitkan hati ketika proses permohonan tersebut. Aku dan ramai lagi sudah melalui pengalaman itu.

Apa-apapun, selamat tahun baru. Untuk kamu, semoga tahun ini lebih bermakna daripada tahun lepas. Azam tahun baru? Mungkin sama macam tahun lepas sahaja.