Tuesday, August 31, 2010

Diari Ramadhan saya # 2.

Satu pagi bulan Ramadhan..

Hari tu, kami ada misi penting. Projek besar punya. Kalah projek Empangan Bakun yang dari dulu, sampai la ke sekarang ni tak siap-siap lagi. Misi ni berkaitan dengan maruah.

Aku, Syukri dan Mijoi get ready dengan kapak. Kami gerak ke tempat yang kami dah sorok batang meriam semalam. Di kampung aku, meriam buluh memang tak ada orang main. Aku pun tak main juga. Bukan apa, nanti letupan dia yang power tu, boleh pecah buluh tu. Aku nak rasa keseronokan main meriam, dan nak rasa keseronokan berhari Raya juga. Jadi aku pilih jalan selamat. Pakai meriam paip simen.

Sebagai ketua pasukan, aku bagi arahan.

"Hah Kue, potong kasi pendek sikit paip ni," arah aku.

Syukri potong kasi pendek sikit. Bertenaga sungguh, macam orang tak puasa. Semalam masa ambil paip tak sempat potong. Takut tak sempat nak potong, dah kena kejar dengan orang kampung.

Bila dah potong, kami ke kedai. Karbaid 5 kupang, minyak tanah seringgit. Kami letak meriam di belakang rumah.

Lepas berbuka, aku cepat-cepat ke belakang rumah. Kami setting meriam. Aku letak bata di bahagian depan meriam, kasi tinggi sikit. Bahagian belakang meriam, aku lapik dengan papan. Meriam tu kami halakan ke kampung sebelah. Kasi budak-budak kampung sebelah panas.

Nak main meriam ni, seni tu kena ada. Macam main bola juga. Kena ada seni. Sebab tu kelab-kelab bolasepak yang kuat macam Arsenal main bola dengan penuh seni. Campuran antara karbaid dengan air tu perlu mantap dan padat. Baru letupan meriam tu berkuasa. Aku masukkan 2 ketul karbaid dan air sikit dalam tin Milo tu. Lepas tu, sumbat dalam meriam tu. Bila dah berbunyi "hisss" tu, tu maknanya karbaid tu dah larut dengan secukup rasa.

Bila dah macam tu, aku celup hujung batang buluh kecil ke dalam minyak tanah. Lepas tu bakar dengan api pelita. Aku halakan api tu lubang tin Milo.

"KEBABOOMMMM!!"

Tu dia. Mantap dan lemak berkrim bunyi letupan dia. Aku pasti, budak-budak kampung sebelah pasti jaki dengar bunyi tu.

Tak lama lepas tu, terdengar bunyi meriam budak kampung sebelah.

"Kecepesss......"

Tak ada fight langsung budak-budak kampung sebelah ni main meriam. Tak ada seni.

Kami get ready untuk letupan kedua. Dalam duk nak ambil karbaid tu, tiba-tiba..

"Woi budak-budak! Tak ada kerja ka hah! Ni cucu aku nak tidur ni!" jerkah Makcik Joyah Spot sebelah rumah aku, sambil keluar rumah.

Aku lari ambil basikal. Mijoi duduk seat belakang. Syukri pula lari masuk bendang.

Tuesday, August 17, 2010

Diari Ramadhan saya.

Apa beza diari bulan Ramadhan aku dan bulan bukan Ramadhan?

Aku rasa takda beza. Err..Kecuali waktu tengah hari bulan Ramadhan aku tak boleh makan nasi.

Ehem.

Aktiviti malam, tetap sama. Cuma cara dia lain sikit. Lepas buka puasa, aku mandi dan siap-siap macam orang nak ke Terawih. Pakai kain pelikat, baju-t dan kopiah. Songkok hitam? Rasanya setahun dua kali aku pakai. Waktu raya Aidilfitri dan raya Aidiladha. Lepas tu aku start motor. Nak bawa motor ni pun kena ada skill dan seni juga bang. Di rumah aku sekarang ada 4 buah motor. Jadi untuk kesenangan, aku akan pilih motor yang banyak minyak.

Aku tunggang motor arah ke surau. Jalan kampung aku macam biasa, memang superb kondisinya. Makcik-makcik selalu jalan kaki ke surau, jadi aku kena hati-hati, nanti terlanggar payah pula.

Sampai surau, aku tak belok terus ke surau. Aku ke depan sikit lagi. Ada jambatan yang ada blok besar. Rakan-rakan dah lama tunggu. Tempat tu memang nikmat bila lepak malam-malam. Boleh duduk atas blok, hisap Surya sambil ditemani lampu jalan. Lampu jalan tu pun adalah yang kedua sepanjang jalan di kampung aku ni. Sungguh prihatin pihak pemerintah negeri aku ni.

Bila cousin merangkap rakan aku yang paling lembab bersiap sampai, kami gerak ke port seterusnya. Sama ada pusat sukan snuker, kedai minum yang ada buka channel HBO atau ke tepi pantai ambil angin malam.

Di kedai minum yang jadi feveret aku, pakcik-pakcik yang sampai awal tangan depa ni gatal. Gatal nak tambah isteri tu satu hal, tapi gatal tangan ni boleh buat orang lain rasa nak terbalikkan meja. Tak boleh duduk diam. Sat-sat tukar channel gusti, sat-sat tukar channel drama Melayu. Padahal channel HBO tu cukup sedap tunjuk cerita Inglourious Basterds hasil lakonan mantap Brad Pitt dan Diane Kruger.

Last sekali depa stick kat channel gusti. Lepas tu tengok dalam keadaan teruja, sambil buat reaksi tangan naik ke atas.

"Ni yang aku kecewa tengok orang Melayu kita ni", kata Syukri, cousin aku yang lembab tu. Tapi bab makan dia boleh laju pula. Licin bihun sup semangkuk. Aku pun hairan.

"Hah, kenapa?", aku balas.

"Senang sangat kena tipu", katanya lagi.

"Kena tipu macam mana?", aku balas sambil menyalakan Surya sebatang.

"Tengok gusti pun boleh tertipu. Padahal tu semua lakonan saja.."

Aku tenung muka Syukri. Meja aku karate.

Saturday, August 14, 2010

Semangat.

Masuk saja bulan Ramadhan ni, semangat yang datang meresap masuk dalam jiwa dan badan aku ni bukan main hebat. Meluap-luap semangat dia. Semangat dia ibarat time ahli politik bagi ceramah kepada orang-orang kampung masa dekat-dekat nak pilihan raya. Lebih kurang macam tu lah.

1 Ramadhan

Hari pertama puasa. Balik saja rumah, terus aku pergi bazaar dan beli makanan mana yang patut. Masuk waktu berbuka, nasi aku tibai cukup-cukup. 2 kali tambah. Lepas tu pekena cendol. Bila dah habis makan tu, mata aku jadi layu. Mula lah mengantuk.

Tapi atas dasar semangat punya pasal, aku pun usaha celikkan mata.

Sebab apa aku usaha nak celikkan mata?

Sekarang ni aku tengah menyiapkan satu research proposal yang dateline-nya sudah terlepas. Jadi aku pun kalut la nak siapkan proposal ni supaya lulus dan ke next step pula. Dalam nak menyiapkan proposal ni, pembacaan sumber-sumber yang kukuh tu penting contohnya previous research dan jurnal.

Tang baca jurnal ni yang aku lemah sikit.

Ok kembali ke cerita di atas.

Lepas berbuka aku pun baring-baring sambil tengok berita dan berazam konon-kononnya nak baca jurnal lepas habis berita.

Kemudian suasana senyap.

*
*
*
*
*
*
*
*
*
*
*
*
*

Aku tertidur rupa-rupanya. Aku terjaga pukul 10.30 pm lepas mak dan abah balik dari Terawih. Tak tunggu lama, aku bangun masuk ke bilik, dan sambung balik tidur tadi.

Tak cukup power macam ahli politik punya semangat lagi rupanya aku ni.

Wednesday, August 11, 2010

Bazaar Ramadhan dan Fida.

Sempena bulan Ramadhan ni, kilang tempat aku internship ni kasi balik awal. Awal tak awal sangat la, 5.30 p.m. Jadi semalam lepas saja balik, aku tukar baju dan terus ke bazaar Ramadhan berdekatan, tak lain tak bukan bazaar Ramadhan Tanjung Piandang.

Zaman aku kecil dulu, bazaar Ramadhan ni boleh tahan stailo-nya. Pembeli ramai. Jadi bila banyak demand, supplier-nya (peniaga) pun ramai. Macam-macam makanan ada. Nampak havoc.

Semalam, bazaar ni dah tak havoc macam dulu-dulu. Pembeli makin kurang, dan peniaga pun makin kurang. Budak-budak zaman sekarang rugi sebab tak sempat nak merasa ke-havoc-kan bazaar Ramadhan ni. Mungkin pembeli lebih prefer bazaar Ramadhan Parit Buntar yang aku kira lebih stailo dan havoc, sampaikan nak berjalan sampai ke hujung pun dah tak larat. Jalan sampai setengah bazaar dan balik.

Jadi disebabkan tahun ni adalah first time aku berbuka dengan family di kampung setelah bertahun-tahun asyik berbuka puasa di tempat orang, aku mengidam sangat nak makan murtabak. Sampai saja bazaar Tanjung Piandang, aku usha dulu mana yang patut.

Aku beli cendol 2 bungkus. Puding 4 ketul. Kenapa aku kata bazaar kat sini sudah tak havoc?

Yang jual cendol cuma ada budak tu sorang saja. Yang jual murtabak 2 orang. Aku pergi tanya peniaga murtabak pertama, sudah habis. Kemudian aku pergi ke peniaga yang kedua. Orang tak adalah ramai mana beli, tapi lembab sungguh dia nak buat muratabak tu. Lepas dapat beli, aku bayar dan balik rumah.



Err..Layan Epilog Syurga Cinta.

Notakaki : Rafidah Ibrahim atau Fida ni boleh tahan cute kan?

Tuesday, August 10, 2010

Kedatangan Ramadhan.

Firman Allah S.W.T,

"Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa" - Surah Al-Baqarah: 183.

Bulan Ramadhan adalah bulan untuk menunaikan ibadah puasa bagi umat Islam. Di permulaan firman di atas telah tertulis perkataan "orang-orang beriman" dan diakhiri dengan "orang-orang yang bertaqwa", yang mana membawa erti puasa adalah berkaitan dengan keimanan dan ketaqwaan.

Setelah meng'Google' sebentar tadi, dapatlah sikit-sikit kebaikan atau hikmah berpuasa ni. Dari segi kesihatan, antara fakta yang aku tertarik adalah mengenai toksin dalam badan. Berpuasa mampu membuang toksin di dalam badan. Ini adalah fakta yang menarik tambah-tambah seorang perokok macam aku ni.

Untuk membaca lebih mengenai hikmah berpuasa ni, klik sini.

Dan ini pula untuk memberi sedikit perangsang.

Ditegaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya yang diriwayatkan oleh Ahmad, An-Nasa'i dan Al-Baihaqi, dari Abu Hurairah, yang bermaksud:

"Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan, bulan yang penuh berkat. Allah telah fardhukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadhan itu dibuka segala pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan.."

Semoga kita beroleh rahmat dari Tuhan di bulan yang mulia ini.
InsyaAllah.

Selamat berpuasa. :)

Friday, August 6, 2010

Keluarga.

Semua orang ada keluarga.

Hari ni aku kerja half-day sebab kena pergi Arau bumi tercinta. Perlu tunjuk update research proposal supaya boleh lulus dan pergi ke next step dalam research ni. Sampai rumah, aku terus on laptop,charge mp3 dan tulis apa yang patut untuk jumpa pensyarah esok.

Tapi bukan yang ni aku nak cerita.

Aku nak cerita perihal 'keluarga'.

Dalam keluarga aku, kami ada 4 orang adik-beradik. Semuanya lelaki, yang mana bila aku dah besar ni baru aku tau betapa susahnya jika tak ada anak perempuan dalam sesebuah keluarga. Maksudnya di sini, hal-hal kerja rumah semua mak aku sorang yang tanggung. Jiran-jiran mula bergurau sebab kami 4 orang ni dah besar panjang.

"Bila nak tambah ahli perempuan dalam rumah ni?"

Kalau ikut hati, mahu saja aku jawab, "Apakata makcik bagi dalam 16 ribu buat modal kahwin saya?"

Sambung balik perenggan yang mula-mula tadi. Bila abang aku yang sulung, yang mana kami panggil dia Abang dan yang kedua (kami panggil Memen) balik masjid, mak ajak kami semua makan sekali. Abah balik lambat sikit, tapi tetap sempat juga untuk makan sekali. Tapi Abang tak join sekali sebab aku rasa dia dah kenyang. Mungkin dia dah makan sebelum pergi masjid tadi sebab dia ponteng kerja hari ni.

Usai makan, aku keluar rumah. Tempat aku lepak tu boleh nampak dapur.

Dari situ, aku nampak Abang, Memen, mak dan abah bersembang. Mesra. Aku tersenyum dalam hati.

Bukan senang keluarga aku boleh berkumpul makan tengah hari sekali. Aku duduk di Arau tahun-tahun sebelum ni. Memen bekerja di Kuala Lumpur setahun yang lepas. Adik aku (kami panggil Mijoi) air force di kem Butterworth. Jadi yang tinggal di rumah cuma Abang, mak dan abah.

Pernah sekali, dalam satu period tu, semua kami 4 orang tak menetap di rumah. Abang belajar di Ipoh, Memen belajar di Pahang, aku di Arau dan Mijoi training 6 bulan air force di Ipoh. Aku tahu, mak selalu menangis bila teringatkan kami. Bila kami cuti dan balik kampung, dan bila nak ke tempat belajar atau kerja kami semula, mak akan peluk dan cium kami. Aku selalu tengok mak macam nak menangis. Itulah betapa mulianya seorang ibu. Aku pasti ibu-ibu kamu di luar sana pun macam tu juga.

Kepada Abang, Memen dan Mijoi, aku tahu kamu tak baca blog ni sebab kamu tak tahu aku tulis blog. Tapi ketahuilah bahawa aku sangat gembira ada adik-beradik macam kamu dan keluarga kita.

Aku harap hubungan keluarga makin rapat dan berkekalan sampai bila-bila.