Thursday, September 9, 2010

Lebaran di perantauan.

Hari ini adalah hari terakhir Ramadhan pada tahun 1431 Hijrah. Usai kelas, aku terus pulang. Jam menunjukkan pukul 1650BST. "Hmm, sudah hampir waktu berbuka," kata aku dalam hati.

Di Dublin, waktu berpuasanya panjang. 16 jam. Mula-mula agak lama juga aku rasakan 16 jam itu. Tapi lama-kelamaan, aku sudah terbiasa.

Aku pantas menghayun kaki pulang ke rumah sewa. Dalam perjalanan pulang ke rumah sewa, aku melalui beberapa buah kedai makanan halal seperti Restaurant Uncle Yusoff, Zaytoon dan Momo's Kebab House. Tapi satu kedai pun aku tak singgah. Almaklumlah, duit tajaan perlu digunakan sebaik mungkin.

Di sini, terdapat ramai pelajar-pelajar Malaysia yang belajar di Universiti Dublin. Mereka belajar di bidang-bidang kejuruteraan, sarjana perniagaan dan aku pula di Sekolah Perubatan.

Sampai saja di rumah, aku letak beg di tepi. Aku merehatkan tubuh dengan berbaring di atas toto yang aku bawa dari Malaysia.

Sambil melihat kipas yang ligat berpusing, aku merenung kembali kisah aku yang sudah 6 tahun tidak beraya di Malaysia. 6 tahun adalah satu jangkamasa yang lama. Tapi apakan daya, demi cita-cita, aku teruskan dan tabahkan hati juga berdikari di tempat orang.

Esok 1 Syawal. Tiada apa yang berubah dalam rutin hidup aku di sini. Cuma esok kelas pagi dibatalkan. Pihak universiti bermurah hati memberi pelepasan untuk pelajar-pelajar Islam di sini menunaikan Solat Sunat Aidilfitri. Pelajar-pelajar Malaysia macam aku, akan berhari raya di Kedutaan Malaysia yang terletak di Shelbourne Road, untuk sekurang-kurangnya melepaskan rindu kepada keluarga.

Aku mengiring ke tepi. Tiba-tiba terpandang gambar keluarga yang sekarang sudah tentu bersiap untuk menyambut Aidilfitri. Hati aku menjadi sayu. Aku ambil gambar dan dapat aku rasakan manik-manik jernih meluncur perlahan-lahan di muka aku. Aku rindukan mereka!

Penggera telefon aku berbunyi, menandakan sudah sampai waktu untuk berbuka. Aku bangun ke dapur, berbuka dengan kurma dan segelas air suam.

Selesai berbuka, aku ambil wudhu' dan membentangkan sejadah. Sesudah sembahyang, aku menadah tangan kepada-Nya dan berdoa agar aku diberi kekuatan menghadapi dugaan hidup dan moga-moga dosa aku diampunkan..

Dikesempatan ini, aku ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf Zahir dan Batin kepada mak, abah dan keluarga; sanak-saudara dan sahabat-handai. Ingatlah aku yang sedang berjuang di perantauan ini!

Ikhlas,
Jeffry Azizi, pelajar tahun akhir, Sekolah Perubatan, Universiti Dublin, Ireland.

:P

Wednesday, September 8, 2010

30 Ramadhan 1431 Hijrah.

Hari ni adalah 30 Ramadhan 1431 Hijrah. Hari terakhir berpuasa untuk tahun ni. Esok, kehadiran 1 Syawal pasti disambut meriah.

Aku akui, ibadah puasa tahun ini tidak sempurna, dan tidak menyambut Ramadhan dengan ibadah-ibadah sunat seperti Terawih yang sepatutnya.

Aku banyak berdosa kepada-Nya dan sepatutnya Ramadhan ini aku sambut dengan berusaha mengimbangi dosa-dosa tersebut. Aku harap Tuhan memaafkan aku dan memberi kesempatan untuk aku bertemu Ramadhan untuk tahun-tahun mendatang.

Ampunkan aku Tuhan.

Selamat menjalani puasa terakhir untuk tahun ini sebelum kita semua menyambut kedatangan Syawal.

Cabaran apabila 1 Syawal hampir menjelma.

Jeffry adalah seorang pelajar semester akhir sebuah pusat pengajian yang sekarang sedang internship di sebuah tempat rahsia.

Sempena bulan Ramadhan yang mulia ni, yang mana para peniaga menjual pakaian-pakaian untuk dibeli di bazaar, ekspo, pasar malam atau perkataan yang sewaktu dengannya, Jeffry pun terdetik di hati mahu angkat baju atau seluar jeans dalam sehelai dua.

Tempat yang mahu dikunjungi Jeffry adalah Juru dan Perda Bukit Mertajam. Beberapa hari lepas, selepas berbuka puasa, Jeffry, adiknya, seorang kazen-nya dan seorang lagi rakan mereka menaiki sebuah kereta yang digelar Kereta Kebal untuk ke destinasi.

Adapun digelar Kereta Kebal, tapi kereta buatan Malaysia itu sungguh mudah dented hatta terkena tayar motosikal sekalipun.

Berbalik kepada niat suci murni Jeffry, sesampainya saja di Juru, mereka terus pergi ke sebuah khemah jualan barang-barang sebuah supermarket, bukan mereka ke kelabing yang terdapat di situ. T-shirt dan shirt yang dijual memang menyelerakan dan memenuhi citarasa Jeffry yang sememangnya bercitarasa tinggi.

Yang peliknya, walaupun baju-baju tersebut kelihatan segak bila disarungkan oleh Jeffry yang sememangnya kacak dan gagah, beliau masih lagi tidak mahu membeli. Akhirnya, kawannya pula yang beli t-shirt di situ.

Selesai di Juru, mereka bergerak ke destinasi bajet seterusnya. Perda yang terletak di bandar milik pendatang asing, iaitu Bukit Mertajam.

Cabaran mengusya baju di bazaar Perda memang mencabar pada malam tu. Kalah cabaran mengayat gadis sekelas. Bazaarnya panjang sampai tak larat mahu berjalan, dipenuhi pula umat manusia yang semuanya berniat mahu membeli-belah.

Jeffry dan rakan-rakannya membuat dua kali tawaf di bazaar tersebut. Tawaf pertama mengusya-usya baju dan usya gadis-gadis sekali, tawaf kedua pula terus beli. Sekali lagi, bukan Jeffry yang beli. Kazen-nya yang beli jeans Siam sehelai dan kawannya pula yang beli.

Jadi, acara berjalan-jalan ke bazaar pada malam itu diakhiri kekecewaan pada Jeffry. Jeffry bertekad mahu membeli juga baju untuk ditayang pada orang kampungnya, sebelum Aidilfitri menjelma tahun ini.

Ok, mari kita analisis sebab apa Jeffry tak beli-beli juga baju walaupun berjalan bagai nak rak.

Jeffry adalah lelaki kacak berketinggian 149 sentimeter dan mempunyai berat badan 50-51 kilogram. Walaupun Body Mass Indexnya normal, tapi Jeffry adalah seorang yang kurus. T-shirt yang dicubanya semua besar-besar belaka. T-shirt berjenama yang bersaiz S pun tidak berapa padan dengannya.

Oleh itu, Jeffry telah menetapkan misi tersendiri ketika bulan Syawal tahun ni. Jeffry mahu makan sebanyak mungkin, supaya badannya yang ada tatoo harimau tu jadi berisi sedikit. Tak adalah Raya tahun-tahun depan susah lagi nak cari baju, ye tak?

Jadi, sesiapa yang membuat open house tu, jangan malu-malu menjemput Jeffry. Beliau sedia hadir undangan kamu, dengan syarat duit raya paling kurang pun bernilai not RM50 terselit dalam sampul. :P

Monday, September 6, 2010

Dialog Ramadhan.

Tahun ni punya Terawih, sekali pun aku tak pernah buat lagi. Mak pula boleh kata hari-hari bagi ceramah kesedaran percuma, suruh aku pergi Terawih. Jadi satu malam tu aku dengan niat suci, bersiap nak ke Terawih. Dah siap, aku bagi tahu mak.

"Mak, ni nak ke surau ni," kata aku pada mak.

"Haa, iyala," balas mak.

"Tu jalan nak ke surau ingat lagi dak? Maklum la dah lama sangat tak ke surau," gurau mak sambil senyum.

*
*
*

Fuhh, pedih juga kena ayat separa maut macam ni.

Wednesday, September 1, 2010

Diari Ramadhan saya # 3.

Satu hari di bulan Ramadhan..

***

Hari tu lauk berbuka memang power. Macam-macam ada bak kata iklan Astro yang super kapitalis tu. Ikan keli bakar, ayam goreng, lauk bermacam-macam, kuih-muih pelbagai jenis dan yang penting air 2-3 macam. Yang penting cendol ada. Hari tu Mak Su dan keluarga, Pakcik Zulkarnain sekeluarga dan family aku berkumpul di rumah atuk. Berbuka puasa dan rancangannya mahu berjemaah Maghrib, Isyak dan Terawih lepas berbuka.

Lepas saja azan dan bacaan doa berbuka, aku sumbat segala jenis yang terhidang masuk dalam perut. Aku belasah cukup-cukup. Dengan baju kerja tak sempat buka, aku terlentang. Sepupu-sepupu aku yang masih kecil ambil mercun bawang masing-masing dan keluar rumah. Judin, Anis, Irfan dan Nabil aku tengok main mercun cukup seronok. Paksu Badli aku tengok dah ambil port baik punya sambil nyalakan rokok.

Aku dan Mijoi juga tak terkecuali ambil rokok dalam kereta. Lepas nyalakan rokok, dia hilang entah ke mana.

Aku pula kepit rokok kat mulut dan nyalakan rokok.

*
*
*

Aku cuba sedut asap. Tapi tak keluar-keluar. Rasa pula rasa macam nak mencarut-carut. Sekali aku tengok, rupa-rupanya rokok tu terbalik. Yang sepatutnya aku kepit adalah bahagian filter rokok. Tapi yang aku kepit adalah bahagian hujung rokok tu. Patut la rasa dia celaka semacam.

Aku memaki hamun diri sendiri. Inilah akibat hisap rokok dalam gelap.

Mungkin juga inilah yang dipanggil fadilat Ramadhan.